Apabila Suami jadi ‘Suri Rumah’

Sebuah perkahwinan konvensional lazimnya menyaksikan suami berperanan sebagai ketua keluarga, bertanggungjawab mencari nafkah dan menyediakan keperluan asas kepada keluarganya, manakala isteri pula membantu mengurus segala keperluan termasuk mengasuh anak, menyediakan makan minum, dan menjaga keharmonian rumah tangga.

Bagaimanapun, seiring perubahan gaya hidup, tekanan serta keperluan semasa, semakin banyak pasangan yang saling bertukar peranan.

Senario ini menyaksikan lelaki menjadi suri rumah dan isteri pula mencari nafkah di luar.

Di Barat, dengan masyarakatnya yang lebih terbuka, keadaan tersebut sudah diterima sebagai perkara biasa selagi berlandaskan kepada persefahaman antara suami dan isteri.

Berbeza di Timur seperti di negara ini, yang masyarakatnya terikat dengan norma-norma tradisional dan lebih penting pandangan di sisi agama.

Sukar untuk mengikis pandangan-pandangan klise seperti ‘dayus’, ‘queen control’, dan pelbagai lagi gelaran, apabila menyaksikan lelaki melakukan kerja-kerja rumah, apatah lagi jika menjadi ‘suri rumah’ sepenuh masa.

Situasi suami menjadi ‘suri rumah’ atau ‘Mr. Mama’, sebenarnya tercetus antara lain disebabkan tekanan ekonomi dan lambakan golongan wanita yang lebih cemerlang akademiknya, sekali gus mempunyai kerjaya yang lebih baik.

Semakin banyak pasangan suami isteri yang membuat keputusan seperti ini dalam usaha untuk menjayakan perkahwinan mereka.

Memang di zaman nenek moyang kita dahulu situasi ini agak pelik dan sukar diterima logik akal, tetapi kini seakan-akan realiti yang tidak dapat dielakkan.

Namun, wajarkah aturan seperti itu berlaku dan diteruskan, lebih-lebih dalam keluarga Islam?

Menjawab persoalan itu Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata, dari segi ajaran Islam suami wajib memberi nafkah kepada isteri dan merupakan salah satu tanggungjawab sebagai seorang suami.

Namun, terdapat kelonggaran sekiranya isteri yang keluar mencari nafkah atas dasar ihsan.

“Terdapat salah anggap dalam masyarakat kita bahawa keseluruhan tanggungjawab adalah terletak di bahu suami, sedangkan dalam rumah tangga, suami dan isteri adalah rakan kongsi.

“Tidak semestinya suami yang perlu membawa fungsi demikian. Jika isteri mempunyai kerjaya yang lebih baik, suami pula mempunyai pendapatan yang kurang daripada isteri, tidak salah sekiranya suami mengerjakan urusan di rumah.

“Jika ada persefahaman dan perbincangan yang baik, suami pula mendapat pelepasan daripada isteri itu sudah dikira sebagai ihsan dan suami tidak berdosa. Namun, jatuh haram sekiranya isteri dipaksa untuk menguruskan perbelanjaan rumah tangga tanpa kerelaan hatinya,” katan Mohamad Shukri.

Beliau mengingatkan, kelonggaran yang diberi kepada isteri itu jangan dipergunakan ke arah yang tidak baik. Jika suami terlalu berlembut, akan timbul masalah seperti isteri tidak menghormati suami.

Katanya, mungkin ada isteri yang ambil kesempatan atau lupa akan kedudukannya dan ada perasan ego di dalam diri.

Dalam hal ini, isteri perlu menjaga maruah keluarganya.

Beliau tidak menolak bahawa faktor semasa membawa kepada isu ini, terutamanya apabila jumlah wanita yang bekerjaya dan cemerlang akademik lebih ramai berbanding lelaki.

Bagi mengimbanginya, salah seorang perlu mengalah supaya keharmonian rumah tangga dapat dikekalkan dan anak-anak pula mendapat kasih sayang dan penjagaan sewajarnya.

Dari sudut sosial, beliau mengakui, kemungkinan keadaan ini mengundang sedikit persepsi negatif.

“Sebagai contoh, apabila perempuan meminang lelaki ia tidak salah di dalam Islam tetapi masyarakat agak kekok memandangnya kerana bertentangan dengan norma dan adat masyarakat kita.

“ Samalah seperti suami yang membuat kerja rumah dan isteri bekerja,” katanya.

Menurutnya, apabila suami dijadikan sebagai kayu ukur berlakunya kepincangan dalam keluarga, pandangan ini perlulah diubah kerana seperti yang dikatakannya, tanggungjawab terhadap keluarga perlu dilakukan oleh suami dan isteri bukanlah suami semata-mata.

P erubahan yang berlaku dalam sistem rumah tangga terutamanya mengenai isu suami tidak bekerja sudah lama berlaku dalam masyarakat dan peratusannya semakin meningkat saban tahun.

Kaunselor keluarga dan rumah tangga, Hushim Salleh, berkata, pelbagai faktor yang mengundang kepada isu ini seperti tekanan ekonomi, pendidikan dan pengaruh masyarakat serta persekitaran.

“Dalam tempoh lima tahun yang lepas, aduan yang diterima di klinik saya berkaitan isu ini meningkat sebanyak lima peratus, tetapi bukanlah perkara menakutkan sehingga membawa kepada isu besar.

“Ada pasangan yang menerima situasi ini dengan baik, tetapi faktor sekeliling membuatkan mereka berfikir sebaliknya dan ada juga pasangan yang langsung tidak dapat menerimanya kerana ego,” ujarnya.

Hushim mengambil contoh, sepasang suami isteri mempunyai tiga orang cahaya mata dengan suami berpendapatan RM1,500 sebulan manakala isteri pula RM6,000 sebulan.

“Dalam hal ini sekiranya kedua-dua mereka bekerja, anak-anak perlu dihantar ke rumah pengasuh dan purata perbelanjaan bagi seorang anak adalah RM300.

“Adakah di sini wajar isteri tidak bekerja manakala suami yang bekerja atau sebaliknya? Sudah tentu seorang wanita ada kemungkinan perlu bertukar tanggungjawab demi memenuhi tuntutan realiti kehidupan.

“Dalam hal seperti ini, pasangan perlu mengamalkan konsep win win situation, yang berpendapatan rendah perlu berada di rumah menguruskan anak-anak bagi mengelakkan perbelanjaan terpesong dalam keadaan kos hidup yang semakin tinggi.

“Pasangan perlu menerima realiti terhadap kehidupan, apa yang berlaku di sekeliling mereka dan bukanlah hanya bergantung kepada emosi semata-mata.

“Bagi lelaki, menguruskan rumah dan anak-anak bukanlah perkara yang merendahkan martabat mereka tetapi mereka perlu menjadi sebahagian daripada proses itu,” katanya.

Sebagai seorang kaunselor, Hushim memandang positif isu ini kerana kadangkala pasangan perlu lebih berfikiran terbuka dalam hal-hal yang sensitif demi kelangsungan perjalanan hidup dan berusaha menangani semua masalah yang mendatang.

Namun, katanya, walaupun isteri yang menguruskan nafkah, mereka perlu tahu batas-batas sebagai seorang isteri dan sentiasa taat kepada suami.

Kedudukan sebagai ketua keluarga itu tidak akan berubah sampai bila-bila walaupun isteri mempunyai kelebihan dari segi kewangan.

“Begitu juga suami. Apabila isteri telah bersetuju untuk mengambil peranan sebagai pencari nafkah, suami tidak harus bersifat lepas tangan dengan membebankan segala-galanya pada bahu si isteri.

“Suami perlu bersikap lebih terbuka, membantu tugas-tugas mengurus rumah tangga dan menjaga anak, waima memasak sekalipun.

“Apabila pasangan memenuhi konsep ini, tidak akan timbul sebarang masalah di kemudian hari,” katanya.

 

Sumber : Utusan.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*


CommentLuv badge