Benarkah Surirumah adalah Pekerjaan Terbaik dalam Dunia?

Benarkah Surirumah adalah Pekerjaan Terbaik dalam Dunia? Inilah yang dikatakan oleh seorang penceramah motivasi yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Ebit Lew. Apakah yang menyebabkan beliau berkata demikian? Jom kita baca perkongsian beliau sampai habis.

Suri Rumah adalah pekerjaan terbaik dalam dunia. Dialah jurutera, arkitek, guru, doktor, motivator, jururawat……permaisuri, ratu, bidadari…pencinta paling ikhlas.

Dari hari pertama selepas pernikahan bersama bidadari tercinta. Beliau belajar tinggi-tinggi. Pernah bertanya saya masa mula-mula kahwin. Abang nak saya bekerja atau jadi suri rumah. Saya kata keduanya mulia disisi Allah sama ada suri rumah atau bekerja. Paling utama niat kerana Allah dan bawa Islam dan sunnah Nabi saw dalam kehidupan.

Kami sama-sama bekerja. Gaji saya kecil. Gaji isteri saya 3 kali ganda jauh tinggi dari gaji saya. Saya bawa isteri bersama-sama perbaiki diri. Sehinggalah satu hari isteri saya ingin berhenti kerja kerana katanya saya ingin menjadi orang yang hidupkan rumah dengan amal agama dan bimbing anak-anak. Anak-anak amanah Allah. Saya nak tunggu abang balik kerja setiap hari. Nak hantar dan sambut abang balik kerja. Sebab abang dan anak-anak syurga saya. Teringat sebak rasa…

Saya kata, abang sentiasa ingin yang terbaik dalam hidup kita. Sebenarnya saya simpan dalam hati. Itulah keinginan saya semenjak dulu lagi isteri suri rumah sepenuh masa. Tapi prinsip hidup saya ingin isteri saya buat kerana hatinya setelah dia belajar iman. Bukan kerana saya. Biarlah kerana Allah.

Saya sujud syukur. Itu hari saya menangis terlalu gembira dalam hidup saya. Anak baru seorang masa isteri saya buat keputusan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa..seluruh hidupnya.

Saya lihat kerja suri rumah 24 jam tanpa henti. Tiada punch card. Tak tahu mana dipanggil mula. Dan mana dipanggil habis kerja. Kerja tak pernah habis. Sentiasa bermula. Dan tiada penghujung. Peluh dan lenguh tiada lagi. Kerja paling berat tak peduli diri sendiri sampai akhir hayat. Ya Allah.

Seorang diri mengadap 4 penjuru rumah. Pernafasan dan pemandangan terhad. Ditemani anak seorang. Merindui suami. Sambil kadang-kadang baca Al-Quran, solat, dengar radio dan membaca. Bila anak bertambah kerja semakin berat. Sampailah anak 4 orang. Bagaimana orang anak lagi ramai. Ya Allah..

Tak tahu masa bila dipanggil tidur. Masa bila buang air kecil dan buang air besar. Tak tahu masa bila berehat. Anak rehat. Mak curi-curi berehat. Anak jaga menangis. Mak berjaga. Tidur macam tak tidur.

Masak sedap-sedap tunggu suami balik. Sambut suami. Bercerita dan meluahkan cerita. Kerana rindukan suami. Tinggal sedikit kawan, keluarga, kehidupan. Yang tinggal hanya suami dan anak-anak. Dalam sedih atau merajuk terus mengurus suami dan anak-anak. Kesusahan dan kesedihan tanggung seorang diri. Itulah suri rumah.

Berbekalkan ilmu. Jika dulu malu bila orang tanya kerja apa sekarang. Sekarang dengan penuh gembira belajar tinggi-tinggi dan gunakan ilmu untuk suami dan anak-anak. Rela menjadi orang disebalik tabir. Air mata dan tangisan tapi Redha Allah dan cinta suami serta anak-anak buat semuanya berbaloi. Buat semuanya nikmat.

Semua orang paling kaya dan hebat akan kata paling yang diinginkan dalam hidup ini patah balik semula ke belakang dan mula memberi masa untuk keluarga. Beri masa buat pasangan tercinta. Beri masa buat ibubapa. Beri masa buat anak-anak. Tak sanggup kehilangan saat mereka membesar. Saat berdua-duaan dengan suami..

Dulu pernah saya balik rumah menangis kerana gaji seribu lebih sikit jer yang tinggal. Akhirnya itu pun hilang. Kerja dan projek dah takde. Hari raya tak keluar rumah. Tak berani keluar rumah. Kata bidadari suri rumah dalam hidupku, bersabarlah kerana kita ada Allah. Jangan sedih. Kan abang selalu kata Allah jaga orang yang jaga agama. Allah tidak akan sia-siakan mereka..

Hidup sempit dan susah. Isteri tak peduli tohmahan atau kata orang. Sentiasa kata cukuplah Allah buat diriku. Orang kata nanti jika tak bekerja suami senang tinggalkan kita. Atau suami meninggal macam mana? Maka jawab bidadariku, sepertimana dia aturkan pertemuan jodoh kami. Seperti dia beri nikmat anak-anak. Seperti dia beri segala nikmat hari ini. Seperti itu Allah akan terus buka jalan buat orang yang berusaha di jalan Allah dan berusaha jaga agama.

Wahai suri rumah seluruh dunia usahlah bersedih kerana kerjaMu kerja paling mulia. Saya kerja motivator, training consultant dan sedikit perniagaan. Tapi saya cuma dapat katakan segala nikmat ini Allah hadiahkan kerana doa ibu saya seorang suri rumah 24 jam sampai hari akhir kehidupan dunia dan saya amat merinduinya. Dan paling saya cintai bidadari hidupku yang berkorban menjadi suri rumah dengan izin Allah menguruskan diriku dan anak-anak. Sebenarnya uruskan semuanya dengan izin Allah. Saya mencemburui kemuliaan dan ganjaran yang Allah sediakan buat wanita ini…

Wahai ibuku semoga wajahmu sedang diusap dan disayangi. Izinkanlah diri ini cium dahi ibuku dalam syurga. Wahai isteriku abang nak jadi orang yang akan sentiasa usap air matamu dan bahu ini tempatmu bersandar. Jika abang pergi dulu, Allah hantar malaikat jaga dirimu. Syurgalah rumah yang kekal buat suri rumah yang ikhlas.

Buat wanita yang bekerja kamu teramat mulia kerana berjuang membangunkan Islam melalui pekerjaan dan membantu suami kerana tuntutan zaman dan keperluan hidup serta kerjaya yang fardhu kifayah mesti ada wanita di sana. Tugas mencari nafkah tugas lelaki tetapi ada kerja yang memerlukan kamu demi menghidupkan hukum Allah. Hanya Allah membalas pengorbananMu ~ Ebit Lew

Sumber: Facebook Ebit Lew

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*


CommentLuv badge